Sunday, October 18, 2009

Teman Sepi 14

Fitri Shahriman termanggu di dalam keretanya. Baharu sahaja tadi dia dikhabarkan oleh Cikgu Rabiah, Naaz Qurratulain sudah terbang entah ke mana. Dengan ibunya sendiri Naaz tidak beritahu ke mana dia mahu pergi. Tempat kerja barunya juga tidak dikhabarkan. Naaz Qurratulain benar-benar membawa hatinya.
Pintu pagar dipandang menerobos rumah setingkat warna merah bata. Dia selalu ke rumah itu untuk makan dan menonton filem-filem kegemaran mereka berdua. Rumah keluarga Cikgu Rabiah dan Ustaz Hussien sudah seperti rumahnya sendiri. Kadang-kala dia yang akan berbelanja untuk mengisi semula peti sejuk di rumah itu. Ada waktunya dia ke pasar bersama Ustaz Hussien. Fitri Shahriman rapat dengan keluarga itu kerana kasihnya pada Naaz Qurratulain, buah hatinya. Dengan Ustaz Hussien dia mendalami ilmu akhirat, berkat tunjuk ajar dari imam masjid di kariahnya itu Fitri Shahriman sudah banyak berubah.
Jam di kereta sudah menghampiri 7 malam. Fitri Shahriman masih belum berganjak. Rumahnya hanya beberapa minit dari sini. Dia lihat Ustaz Hussien membuka pagar dan berjalan menuju ke keretanya. Fitri Shahriman menurunkan cermin keretanya.
“Ke masjid sekali Fitri?” pelawa Ustaz Hussien. Dia diam.
“Pakcik tahu kamu tunggu Ain tapi dia sudah pergi, tak usahlah kamu tunggu dia lagi. Pakcik dan makcik tak bohong… kamu sendiri sudah lihat biliknya kosong, bukan? Pakaiannya sudah tidak ada… yang tinggal itulah, keretanya…” tunjuk Ustaz Hussien. Peugeot warna biru molek diparkir di dalam garaj kereta.
“Saya bukan tak percaya pakcik tapi saya tak boleh terima kenyataan kenapa Ain harus pergi?”
“Dia pergi untuk kebaikan semua orang. Bersabarlah, insya Allah semuanya akan kembali seperti biasa. Sudahlah… mari ikut pakcik ke masjid, sekejap lagi dah nak masuk waktu ni.”
Fitri Shahriman mengunci keretanya. Dia berjalan kaki dengan Ustaz Hussien menuju ke masjid. Dia berzikir sepanjang jalan, mengusir rasa terkilannya atas apa yang telah berlaku. Dia bermohon pada Tuhan agar melindungi buah hatinya, Naaz Qurratulain.

“Lewat balik hari ni Iman?” tegur Datin Shariah.
“Solat dekat masjid tadi ma,”
“Singgah rumah ustaz lagi?”
Fitri Shahriman diam. Dia tahu ibunya tahu, tidak perlu dijawab atau dinafikan. Dia rasa ingin marah tetapi bukan pada ibunya. Dia rasa ingin memberontak bukan jua pada isterinya. Dia hanya ingin diam. Diam selagi dia tidak ketemu dengan Naaz Qurratulain.
“Hadiah ini Ain pulangkan semula pada mama…”
Bungkusan DHL itu bertukar tangan.
“Gila barang kemas dikurier begini…”
“Gila? Iman rasa orang yang beri hadiah itu pada Ain tidak ada perasaan langsung. Mama beli Ain dengan barang kemas mahal macam ini? Mama ingat Ain tu perempuan mata duitan ke ma?”
“Apa Iman cakap ni? Nanti Rini dengar, dia salah sangka pulak!”
“Mama tahukan Iman sayangkan Ain? Mama tahukan?”
“Awak tak pernah cakap pun awak sayangkan dia. Bila kita dah tunangkan awak baru awak bawak dia balik ke rumah.”
“Tunang apanya ma kalau Iman sendiri tak tahu?”
“Bukan ke awak jugak yang suruh mama carikan?”
“Iman gurau aje mama! Iman gurau aje!”
“Awak suka dia awak tak terus terang dengan kita Iman. Bila kita dah berjanji dengan orang baru awak cakap awak sukakan orang lain. Awak ingat senang ke nak putus macam tu aje, malu mama nak mungkir janji yang mama dah buat.
“Sudahlah mama, benda dah lepas… tak guna kita debatkan lagi. Ain dah tinggalkan Iman”

Fitri Shahriman tidak terus ke bilik. Dia keluar semula dan duduk di luar rumah. Jarinya semua menghantar teks kepada Kamilla, saling berbalas satu demi satu. Akhirnya dia dial nombor telefon Kamilla.
“Tak puaslah pakai teks aje Milla, aku nak kau terus terang dengan aku Milla, mana Ain pergi.”
“Aku tak tahulah Fitri.”
“Bohong kau tak tahu. Dia kawan baik dengan kau, paling rapat dengan kau… takkan dia tak cakap mana dia pergi Milla?”
“Sumpah aku tak tahulah Fitri. Buat apa aku nak bohong kau.”
“Kau tak kesiankan aku Milla?”
“Aku kesiankan Ain lebih lagi, dia perempuan, seorang diri kat tempat orang, entah kat mana kita tak tahu. Dengan hati dia yang luka parah tu… kau ingat dia boleh survive ke Fitri?”
“Tolonglah aku Milla, beritahu aku mana Ain pergi…”
“Cuba kau check dengan polis… polis ada senarai orang yang menginap di hotel. Cubalah, mana tahu nasib kau baik.”
“Kau ingat bapak aku KPN ke?”
“Dah tu, kau nak aku buat apa Fitri? Dah terlambat macam ni baru kau nak cari Ain. Kalau dari dulu kau mengaku kat dia kau syok setengah mati kat dia, kan senang! Ini tidak, dah jadi laki orang baru nak meraban cari Ain…”
“Salah aku, aku mengaku…”
“Eloknya kau lupakan aje dia Fitri. Dia pergi sebab dia nak kau lupakan dia, dia bawak hati dia jauh dari kau supaya dia juga boleh lupakan kau.”
Fitri Shahriman tidak akan mengalah begitu sahaja. Terlewat tidak bermakna dia harus berhenti berusaha. Terlambat untuk berterus terang tidak bermakna dia tidak berpeluang lagi untuk memiliki.

0 comments: