Saturday, October 13, 2007

Teman Sepi 1

“Mama, kenalkan ini kawan Iman… Ain, kenalkan ini mama I, Datin Shariah”

Ain diperkenalkan dengan seorang wanita berusia akhir 40an atau mungkin awal 50an. Genit dan bergaya orangnya. Ain memanjangkan tangannya dan bersalaman dengan Datin Shariah. Dia turut menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat.

“Kawan sepejabat Iman ke?” tanya Datin Shariah

“Tak ma… tapi satu bangunan pejabat, floor lain-lain…” ujar Shahriman. Datin Shariah tersenyum.

“Jemput duduk dulu Ain… sekejap lagi bila papa Iman ni balik dari surau bolehlah kita makan sekali…” kata Datin Shariah.

“Sweetheart…” panggil Shahriman. Terbeliak mata Ain bila dipanggil sebegitu.

“Ishh… besar-besarkan mata pulak… memang nama you Sweetheart kan?” usik Shahriman, merujuk kepada makna nama Qurratulain. Memanglah nama aku Sweetheart, tapi janganlah panggil aku Sweetheart depan mama kau, lebih-lebihlah kau ni Fitri Shahriman!

“Dah lama ke Ain kenal Iman?” tanya Datin Shariah

“Lama jugak Datin…”

“Sudah lima tahun lima bulan lima hari ma…” jawab Fitri Shahriman dengan tepat. Naaz Qurratulain tersenyum. Sesuai dengan jawatan yang disandangnya, arkitek muda itu sangat pantas membuat kira-kira.

“Ain kerja di mana?” tanya Datin Shariah lagi.

“Hisham Andrews, Datin…”

“Ohh… auditor kita tu…” jawab Datin Shariah.

Makan malam berjalan dengan lancar selepas itu. Naaz Qurratulain pandai menyesuaikan diri dengan keluarga Fitri Shahriman. Jejaka tampan itu juga senang hati bila melihat papa dan mamanya dapat menerima calon pilihan hati yang dibawanya pulang malam ini.

“Ain… kalau ada orang masuk meminang you sekarang ni, you terima tak?” tanya Fitri Shahriman sewaktu menghantar Naaz Qurratulain pulang.

“Hah? Kau ni tak ada soalan lain ke?”

“Saja aje… kenapa? Tak boleh ke?”

“Siapalah yang mahukan aku ni Iman… Cantik pun tidak”

“Manusia yang bijak tidak melihat pada kecantikan sahaja…kecantikan pada wajah tidak kekal lama, Naaz Qurratulain”

“Pandailah kau tu…”

“Kalau I yang pinang you, you terima tak Ain?”

Besar mata Naaz Qurratulain bila mendengar soalan terbaru dari Fitri Shahriman itu. Sejak akhir-akhir ini lelaki itu sering mengutarakan soalan-soalan pelik kepadanya. Fitri Shahriman sudah tidak beraku-engkau lagi dengannya, kini dia lebih senang ber-I-you. Banyak perkara yang dirasakan sudah berubah.

“Ain, dengar ke tidak ni?”

“Dengar… tapi larat ke kau nak tanggung belanja kahwin nanti? Aku semua nak free aje Iman. Kau kena sediakan semuanya sekali…” jawab Naaz Qurratulain sambil ketawa. Gelihati sungguh dia.

0 comments: